Wednesday, August 15, 2007

Kemudahan Masyarakat dan Sistem Sokongan Keluarga di Peringkat Kejiranan

Disediakan Oleh:
Habsah bt. Hashim dan Yusfida Ayu bt. Abdullah @ Mohd Zain
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
UiTM, 40450 Shah Alam
Tel. Pejabat : 03-5544 4265 / 03-5544 4289
Faks : 03-5544 4353
Emel : habsah99@hotmail.com / ayu_abdullah@hotmail.com

Untuk:
Persidangan Kebangsaan Ke 2,
Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, FSSK, UKM
“Keharmonian Hidup: Imbangan Alam dan Pembangunan”
5 -6 September 2005
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Pendahuluan
Kertaskerja ini menghuraikan kajian yang dijalankan dikalangan keluarga Melayu kelas pekerja (working class households) di Shah Alam Tengah. Responden yang diambil untuk kajian ini adalah kaum wanita di kalangan keluarga kelas pekerja. Seramai 200 orang responden yang terdiri dari keluarga yang mempunyai pendapatan isirumah RM2000 atau kurang diambil sebagai sampel kajian. Kajian ini meliputi 15 seksyen di Shah Alam Tengah iaitu Seksyen 2, 3, 4, 6, 7, 8, 9, 10, 11, 16, 17, 18, 19, 20 dan 24. Selain dari profil keluarga, kajian ini juga meninjau penyediaan kemudahan awam dan sistem sokongan sosial yang kini terdapat di kawasan kajian.

Latarbelakang Shah Alam
Bandaraya Shah Alam terletak di dalam Daerah Petaling, Negeri Selangor Darul Ehsan. Keluasan Shah Alam adalah 290.3 km persegi. Bandaraya Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Renggam merupakan sebuah ladang kelapa sawit Shah Alam telah dinaikkan taraf kepada sebuah bandaraya pada 10 Oktober 2000. Ini adalah berdasarkan beberapa penyesuaian kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, iaitu, antara lainnya: ia merupakan sebuah ibu negeri; mempunyai jumlah penduduk melebihi 400,000 orang; ia merupakan sebuah pusat pentadbiran, perniagaan dan perdagangan; serta mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta setahun. Data statistik tahun 1999 menunjukkan bahawa kaum Melayu paling ramai di Shah Alam, iaitu membentuk 66.62 peratus penduduk. Masyarakat Cina pula terdiri daripada 17.56 peratus, India 14.58 peratus dan bangsa lain sejumlah 1.23 peratus (Adibah Ramlee, 2001). Bagi melihat perubahan dan pertambahan penduduk di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (dahulu Majlis Perbandaran Shah Alam, MPSA), rujuk Jadual 1.

Profil Keluarga
Istilah “kelas pekerja” bermaksud “golongan manusia yang berpendapatan rendah” (low-income group). Noran Fauziah Yaakub (1987) menyatakan bahawa ‘kelas pekerja’ adalah terdiri daripada mereka yang bekerja kolar biru. Contoh-contoh yang diberikan oleh adalah seperti pekerja binaan, pemandu lori dan traktor, mekanik, tukang paip dan besi, dan lain-lain. Antara ciri pekerjaan golongan ini adalah mereka bekerja dalam jangka masa yang lebih lama dan ini menjaminkan pendapatan yang stabil; jenis pekerjaan yang dibuat adalah pekerjaan mahir atau separa mahir dan mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan sekolah menengah rendah.

Kajian mendapati majoriti responden berasal dari kawasan luar bandar iaitu sebanyak 82 peratus. Ini menunjukkan terdapatnya perpindahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar. Peluang kerja di kawasan bandar lebih luas berbanding di kawasan luar bandar. Dua puluh tujuh peratus responden berumur di antara 45 hingga 49 tahun. Begitu juga dengan umur suami responden; di mana 21.5 peratus berumur di antara 45 hingga 49 tahun. Purata umur responden adalah 43 tahun manakala purata umur suami responden adalah 50 tahun (Rujuk Jadual 2).

Berdasarkan kepada analisis yang dilakukan didapati bahawa lebih kurang 50 peratus responden dan 56 peratus suami menamatkan pendidikan diperingkat sekolah menengah. Lebih ramai responden yang berkelulusan rendah berbanding suami; iaitu 42.5 peratus responden berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan kurang sementara hanya 28.5 peratus suami berkelulusan sedemikian. Lebih ramai suami yang berkelulusan tinggi berbanding isteri, di mana 9 peratus suami memiliki kelulusan Sijil, Diploma dan Sarjana Muda, sementara hanya 5 peratus responden yang berkelulusan sedemikian.

Di dalam Siaran Perangkaan Bulanan Malaysia Ogos 2003, klasifikasi bagi orang yang bekerja adalah merupakan orang yang melakukan sebarang pekerjaan untuk mendapatkan bayaran, keuntungan atau keuntungan keluarga (sebagai majikan; pekerja, pekerja sendiri atau pekerja keluarga tanpa gaji). Sebagaimana Jadual 4, dari 200 isirumah, 91 (45 peratus) merupakan isirumah dwi-kerjaya. Majoriti wanita dalam isirumah golongan pekerja tidak bekerja di luar rumah. Dari keseluruhan sampel, 55 peratus responden tidak bekerja. Kebanyakan responden yang tidak bekerja mempunyai kelulusan SPM dan kurang. Walaubagaimana pun terdapat 3.7 peratus daripada responden yang tidak bekerja berkelulusan Sijil dan Diploma.

Siasatan juga menunjukkan bahawa majoriti responden yang bekerja merupakan pekerja yang menerima gaji sebagai upah (Rujuk Jadual 5). Kadar penyertaan tenaga buruh di kalangan wanita golongan Melayu kelas pekerja di Shah Alam ini adalah lebih rendah daripada kadar penyertaan wanita di peringkat nasional. Pada tahun 1995, kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh adalah sebanyak 47.1 peratus dan dari segi sektor pekerjaan, sebahagian besar kaum wanita bertumpu pada sektor pengeluaran, pengkeranian dan perkhidmatan (Majlis Perundingan Ekonomi Negara, 2001). Penglibatan wanita di arena pekerjaan ini membuktikan peningkatan kesedaran wanita sekarang yang perlu bekerja dan berdikari selain dari keperluan untuk menambah pendapatan keluarga terutama jika tinggal di kawasan bandar yang melibatkan kos hidup yang lebih tinggi. Kaji selidik yang dilakukan mendapati bahawa majoriti responden yang bekerja telah menyatakan sebab mereka bekerja adalah untuk menambah pendapatan keluarga iaitu sebanyak 84.6 peratus (Rujuk Jadual 6).

Dari segi pendapatan, 42 peratus dari sampel mempunyai pendapatan isirumah di antara RM1501-RM2000 dan 21.5 peratus lagi memperolehi pendapatan RM 1001 - RM 1500 (Rujuk Jadual 7). Dari segi pemilikan hartabenda didapati majoriti golongan kelas pekerja memiliki rumah (89.0 peratus), kereta (75.0 peratus), motosikal (65.0 peratus), talian telefon (70.0 peratus), televisyen (99.5 peratus), perakam VCD/DVD (45.0 peratus), peti ais (95.0 peratus) dan mesin basuh (93.0 peratus).

Dapat disimpulkan bahawa harta yang dimiliki oleh responden merupakan barangan asas dan keperluan untuk menjalani kehidupan seharian. Kesemua keluarga yang dikaji juga tidak mempunyai pembantu rumah walaupun dikalangan keluarga dwi-kerjaya. Sebagaimana di tunjukkan di jadual 8, majoriti responden lebih suka menjaga sendiri anak-anak dan bergilir dengan suami iaitu sebanyak 87.9 peratus. Satu lagi bentuk penjagaan anak yang popular dikalangan keluarga dwi-kerjaya adalah menghantar ke rumah pengasuh.

Kemudahan Masyarakat Di Shah Alam
Fatimah Abdullah dan Noraziah Ali (2004) menghuraikan, “penunjuk kesejahteraan isirumah dan keluarga ialah melalui penyediaan prasarana tertentu, yang mana mestilah mencukupi, mudah didapati dan sesuai. Ini bagi memastikan keluarga dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera dan tidak meninggalkan kesan-kesan negatif terhadap komuniti setempat, masyarakat dan persekitaran”.

Terdapat beberapa kemudahan masyarakat yang terdapat di Shah Alam Tengah termasuk sekolah, tadika, masjid, surau, dewan orang ramai dan lain-lain. Melalui analisis perbandingan penyediaan kemudahan awam sediada dengan garispanduan kemudahan awam (MBSA, 2004). Penilaian telah dilakukan dengan mengkaji keperluan penyediaan kemudahan awam dibandingkan dengan jumlah (unit) kemudahan yang telah disediakan di kawasan kajian. Bagi kawasan utara Shah Alam, hanya sekolah menengah dan masjid negeri dengan kapasiti 16,000 jemaah sahaja yang mencukupi. Rujuk Jadual 9(a). Sebagaimana Jadual 9(b), didapati semua jenis kemudahan awam di bahagian Selatan Shah Alam Tengah adalah tidak mencukupi. Terdapat keperluan untuk menambah kemudahan masyarakat di Shah Alam. Kekurangan kemudahan pastinya menjejaskan pembangunan sosial masyarakat. Kekurangan sekolah mengakibatkan saiz kelas yang lebih besar di sekolah-sekolah dan meningkatkan nisbah guru-murid. Kekurangan masjid, surau dan dewan orang ramai menimbulkan kesulitan kepada penduduk. Kekurangan tadika awam telah menggalakkkan penubuhan tadika swasta. Dianggarkan kini terdapat 56 tadika swasta beroperasi di kawasan kajian.

Pengamatan yang dijalankan selama seminggu (secara berterusan setiap hari) bagi melihat penggunaan kemudahan awam di kawasan kajian mendapati tiada kemudahan awam yang terbiar tanpa penyelenggaraan, cuma kelihatan lengang sewaktu kajiselidik dilaksanakan. Kajian mendapati kebanyakan daripada kemudahan awam yang disediakan digunakan di waktu petang (selepas waktu pejabat), melainkan kemudahan berbentuk tadika atau taska, ataupun sekolah, klinik, surau atau masjid. Kebanyakan taman permainan, padang, atau ruang rekreasi, kompleks sukan dan dewan digunakan di waktu petang dan hampir keseluruhan aktiviti yang dijalankan adalah berbentuk sukan, permainan dan riadah. Keadaan begini juga didapati berlaku pada hari cuti hujung minggu. Hasil analisis ini melihatkan kepincangan dalam penyediaan dan penggunaan kemudahan awam. Jika dibandingkan dengan piawaian, didapati banyak kemudahan yang kurang; namun walaupun tidak mencukupi, tiada berlaku kesesakan dan perebutan dari segi penggunaan kemudahan-kemudahan tersebut. Jelaslah disini bahawa kurangnya aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan diperingkat kejiranan untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan-kemudahan yang telah disediakan

Sistem Sokongan Sosial
Sistem Sokongan Sosial merangkumi pelbagai pertubuhan, persatuan, khidmat nasihat, kemahiran, kaunseling, dan lain-lain perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan dan memperbaiki kehidupan sosial manusia. Di sini, sistem sokongan sosial merujuk kepada segala sumber bantuan, serta khidmat nasihat dan sokongan yang disediakan khusus untuk keluarga. Sememangnya terdapat pelbagai pertubuhan termasuk badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan yang diwujudkan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga di Malaysia, termasuklah sokongan dari ahli keluarga dan faedah kerja yang disediakan oleh pihak majikan.

Hasil kajian menunjukkan kebanyakan suami kepada responden yang bekerja (87.9 peratus), membantu isteri untuk menjaga anak secara bergilir. Keadaan ini wujud bagi mengurangkan kos perbelanjaan keluarga. Suami juga membantu dalam kerja-kerja di rumah seperti bermain dengan anak, berbelanja di pasar, membayar bil bulanan dan membersihkan halaman rumah ( Rujuk Jadual 10 ).

Dari segi kemudahan yang disediakan oleh majikan, pelepasan kerja sekiranya anak sakit merupakan kemudahan yang paling tinggi diperolehi. Dikalangan responden yang bekerja, 24.5 peratus menyatakan majikan memberi pelepasan kerja jika anak sakit. Penyediaan kemudahan taska tidak dititikberatkan oleh majikan. Hanya 3.0 peratus sahaja responden menyatakan majikan ada menyediakan kemudahan taska di tempat kerja (Rujuk Jadual 11).

Program kemasyarakatan
Setiap pertubuhan penduduk di Shah Alam kini bernaung di bawah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP). MPP Shah Alam telah ditubuhkan pada bulan Mac 2003, dan dilancarkan secara rasminya oleh YAB Menteri Besar Selangor pada bulan Julai 2003. Kawasan pentadbiran MBSA dibahagi kepada 12 zon MPP. Antara tujuan penubuhan MPP adalah seperti berikut:

Memperkukuhkan dan memperkemaskan fungsi dan tugas Ahli Majlis sebagai agen yang menghubungkan antara Majlis dan penduduk;
Menjadi agen perantaraan menyalurkan maklumat dan peraturan majlis kepada penduduk;
Menjadi agen menyalurkan aduan, permintaan, masalah dan kehendak penduduk kepada Majlis;
Menggalakkan penyertaan penduduk dalam semua aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis;
Memantau aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai persatuan penduduk di Zon;
Menyelaraskan bentuk bantuan yang seimbang kepada pelbagai persatuan penduduk di Zon; dan Melaksanakan aktiviti Local Agenda 21 ke arah pembangunan Mampan.

Antara aktiviti kemasyarakatan yang telah dianjurkan oleh MBSA dalam tahun 2004 adalah seperti di Jadual 12 (Laporan Tahunan MBSA, 2004).

Rumusan
Sebagai sebuah bandaraya dan ibunegeri Selangor, Shah Alam dilengkapi pelbagai kemudahan masyarakat. Walaupun masih ada kemudahan yang tidak mencukupi mengikut keperluan piawaian perancangan, kajian mendapati kemudahan yang telah sediada tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat. Program-program kemasyarakatan yang lebih kreatif perlu dibentuk diperingkat kejiranan agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk. Sumber pendapatan yang terhad di kalangan keluarga golongan pekerja menghadkan pilihan mereka. Oleh itu amatlah perlu, kemudahan serta program di peringkat kejiranan dibentuk. Peranan pihakberkuasa, organisasi bukan kerajaan, pertubuhan penduduk dan sektor swasta adalah perlu dalam usaha membangunkan lebih banyak lagi program-program komuniti dan masyarakat diperingkat kejiranan dalam usaha mempertingkatkan kesejahteraan hidup masyarakat bandar.

Rujukan

Adibah Ramlee (2001), Kajian Kehidupan Kejiranan di Kondominium. Kes Kajian: Seksyen 9, Shah Alam, Tesis UiTM Shah Alam, Tidak diterbitkan.

Fatimah Abdullah dan Noraziah Ali (2004), Penunjuk Kesejahteraan Isirumah dan Keluarga. Dalam: A. Latiff, Pereira, J.J., A.Hezri Adnan and Aldrie, E.E. (eds) Indicators of Sustainable Development. Assessing Changes in Environmental Conditions, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM, Bangi.

Jabatan Korporat MBSA (2005), Laporan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) 2003/2004, Shah Alam, Tidak diterbitkan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2003), Buku Maklumat Perangkaan Malaysia 2003, Jabatan Perangkaan, Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2003), Siaran Perangkaan Bulanan Malaysia Ogos 2003, Jabatan Perangkaan, Malaysia.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) (2005), Profil Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara [Laman web] http://www.lppkn.gov.my/ (Akses pada: 21 Mei 2005)

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) (2000), Maklumat Kemudahan Awam Di Kawasan Majlis Perbandaran Shah Alam (Sehingga Julai 2000), MBSA, Shah Alam, Tidak Diterbitkan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) (2001), Maklumat Asas Shah Alam, MBSA, Shah Alam, Tidak Diterbitkan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) (2004), Garispanduan Perancangan MBSA 2004, MBSA, Shah Alam, Tidak Diterbitkan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) (2005), Majlis Bandaraya Shah Alam [Laman web] http://www.mbsa.gov.my/ (Akses pada: 3 Mei 2005)]

Majlis Perundingan Ekonomi Negara (2001), Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II). Dasar Pembangunan Wawasan 2001-2010, MAPEN, Malaysia.

Noran Fauziah Yaakub (1987), Pengantar Sosiologi, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya.

* Jadual telah dikeluarkan dari teks ini.