Tuesday, August 16, 2005

Impak Pembangunan Terhadap Masyarakat Desa

Oleh:
Habsah Hashim
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam
habsah99@hotmail.com / habsah99@yahoo.com

Dibentangkan di
Seminar Kebangsaan Perancangan Bandar & Wilayah UTM 2004
”Ke Arah Pembangunan Luar Bandar Mampan”
28 -29 September 2004, di Dewan Senat,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor


PENGENALAN

Bidang perancangan bandar memainkan peranan penting dalam usaha Malaysia mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020. Bidang inilah yang memandu serta mengawal pembangunan gunatanah dan merancang penempatan bagi penduduk sesebuah kawasan. Sebagaimana kita sedia maklum, selain aspek fizikal dan ekonomi, amalan perancangan perlu memberi penekenan terhadap aspek sosial masyarakat. Doktrin Perancangan dan Pembangunan Sejagat yang dihasilkan pada tahun 1995 menggariskan prinsip-prinsip kepada amalan perancangan yang lebih seimbang. Cabaran perancangan bandar dalam abad ke 21 ini adalah untuk “memastikan setiap jenis perancangan menjamin kesejahteraan masyarakatnya, mengambil ingatan terhadap sumber-sumber negara yang semakin terhad serta keperluan bagi pembangunan berketerusan” (Dato’ Zainuddin, 1995: 8). Penekanan terhadap aspek sosial masyarakat ini disokong oleh dasar sosial negara yang dilancarkan pada tahun 2003. Objektif umum dasar ini adalah untuk “Menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan” (Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, 2003:9)

Pembangunan (development) perlu dibezakan dengan pertumbuhan (growth). Pertumbuhan sering dikaitkan dengan sistem ekonomi dan perkembangan secara kuantitatif sementara pembangunan pula lebih bersifat kualitatif, “incorporating notions of improvement and progress and including cultural and social, as well as economic dimensions”. Salah satu tujuan pembangunan lestari adalah untuk menjamin kesaksamaan sosial, iaitu “to prevent any development that increases the gap between rich and poor and to encourage development that reduces social inequality” (Blowers, 1993: 3-7). Oleh itu setiap pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan harus lebih menyeluruh dan menjangkau lebih dari dimensi material semata-mata. “... pembangunan mestilah bertujuan untuk mencapai segala ideal hak asasi manusia yang boleh dirumus sebagai kemakmuran, kesejahteraan, kedaulatan, kebebasan, keadilan, kesempurnaan dan keamanan untuk sekarang dan masa akan datang dalam semua aspek kemanusiaan” (Rahimah, 2001: 284).

Kertaskerja ini membincangkan mengenai beberapa projek utama yang dirancang serta dilaksanakan di daerah Kinta, Perak dan menilai kesannya terhadap masyarakat setempat. Penemuan dari kajian ini menunjukkan perlunya kepada satu anjakan paradigma dalam amalan perancangan semasa di negara kita, Malaysia. Mereka yang terlibat dalam perancangan dan perlaksanaan pembangunan perlu memahami masyarakat setempat, mengambilkira pandangan mereka serta menghormati tatasusila, budaya dan warisan setempat. Bahan yang dibentangkan ini adalah sebahagian daripada hasil kajian yang dijalankan dalam penyediaan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kinta 2002-2015.


LATARBELAKANG KAJIAN

Kajian Rancangan Tempatan Daerah Kinta (RTD Kinta) telah dimulakan pada 1 Mac 2002 dan ia merupakan peringkat kedua di dalam Sistem Rancangan Pemajuan yang diperuntukkan di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172) serta pindaan-pindaannya (Akta A933 dan Akta A1129). Kawasan RTD Kinta merangkumi seluruh Daerah Kinta kecuali kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan terdiri daripada gabungan 7 buah mukim iaitu Hulu Kinta, Sungai Raia, Teja, Kampar, Sungai Terap, Tanjung Tualang dan Belanja. Kawasan RTD Kinta mempunyai keluasan 160,566.00 hektar dan daerah ini terkenal dengan jolokan sebagai “District With A Thousand Ponds” kerana terdapat banyak kawasan bekas lombong. Kawasan Rancangan Tempatan ini disempadani oleh Daerah Kuala Kangsar di bahagian utara, Daerah Perak Tengah di bahagian barat dan Daerah Batang Padang di bahagian selatannya serta Pahang di sebelah timur. Kawasan Rancangan Tempatan ini juga direntasi oleh Lebuh raya Utara Selatan di bahagian tengahnya.

Terdapat dua Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan RTD Kinta iaitu Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) yang berpusat di Batu Gajah dan Majlis Daerah Kinta Selatan (MDKS) yang berpusat di Kampar. Pusat penempatan lain yang terdapat di sini adalah Gopeng, Mambang Di Awan, Malim Nawar, Jeram, Sungai Siput Selatan, Kota Baharu, Tanjung Tualang, Tronoh dan Pusing. Jumlah penduduk Kawasan RTD Kinta pada tahun 2000 adalah seramai 163,360 orang, iaitu 8.28 peratus dari keseluruhan penduduk negeri Perak dan 23.22 peratus dari keseluruhan penduduk Daerah Kinta.


RINGKASAN PROJEK PEMBANGUNAN UTAMA

Terdapat beberapa projek pembangunan utama yang dirancang dan yang sedang dalam pembinaan semasa kajian dijalankan. Secara ringkasnya, projek-projek berkenaan dibincangkan di bawah.

a. Naik taraf Laluan Persekutuan 1 Jalan Tapah Gopeng

Projek menaiktarafkan Laluan Persekutuan 1 Jalan Tapah Gopeng merupakan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) – Bahagian Jalan. Projek ini merentasi Kawasan RTD Kinta bermula dari sempadan daerah, melalui Bandar Kampar hinggalah ke Bandar Gopeng. Projek yang sedang berjalan ini melibatkan pelebaran jalan menjadi empat laluan di beberapa tempat. Walaupun hanya tiga puluh lapan lot tanah milik sahaja yang terlibat dengan pengambilan balik tanah, status tanah pusaka bagi kebanyakan tanah milik berkenaan mengakibatkan ramai pewaris-pewaris juga turut terlibat. Ini telah merumitkan lagi proses pengambilan balik dan pembayaran pampasan. Semua pihak yang berkepentingan telah dipanggil untuk bicara pada bulan Julai 2001 yang lalu. Pengambilan balik tanah yang paling banyak adalah setakat 10 meter di kiri atau kanan jalan. Ada penduduk yang terpaksa berpindah dan rumah mereka dirobohkan. Selain pemilik tanah, penduduk yang tinggal di sepanjang laluan tersebut juga merasa tidak puas hati kerana pelbagai kerugian dan kesulitan yang timbul akibat dari pembinaan yang sedang berlaku.


b. Pembinaan Landasan Kereta api Berkembar

Pembinaan landasan kereta api berkembar merupakan projek Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang telah melantik DRB-Hicom sebagai kontraktor utamanya. Keseluruhan projek yang bernilai RM4 ribu juta ini melibatkan pembinaan landasan kembar berelektrik (electrified double tracking) di sepanjang 174 km di antara Rawang ke Ipoh. Projek ini merentasi Kawasan RTD Kinta dan pembinaan infrastruktur telah bermula sejak Julai 2000 dan keseluruhan projek dijangka siap pada akhir tahun 2004. Selain pembinaan landasan, projek ini juga melibatkan pembinaan tiga flyover di Kota Baharu, Malim Nawar dan Bandar Baru Kampar serta satu underpass di Jalan Stesen. Pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah telah diberi pampasan. Terdapat juga peniaga serta penyewa dan mereka yang menjalankan aktiviti di tanah TOL yang terpaksa berpindah. Selain tanah milik, projek ini juga melibatkan beberapa kemudahan awam seperti balai polis, klinik, padang bola, masjid, kuil serta tanah perkuburan.

c. Pembinaan Jalan Simpang Pulai – Pos Slim – Blue Valley

Projek pembinaan jalan Simpang Pulai – Pos Slim – Kampung Raja (Cameron Highlands) merupakan projek JKR -Bahagian Jalan. Projek yang terletak di Mukim Sungai Raia ini telah bermula sejak tahun 1997. Walaupun telah tergendala disebabkan masalah tanah runtuh dan hakisan, projek ini telah pun siap sekarang. Projek ini tidak melibatkan pengambilan balik tanah atau pun perpindahan penduduk. Kawasan penempatan penduduk di sekitar projek ini adalah penempatan-penempatan orang asli seperti Kg. Kerawat Lama, Kg. Kerawat Baru, Pos Raya, Pos Slim dan lain-lain.


d. Pembangunan Pelancongan di Gua Tempurong

Gua Tempurong merupakan aset semula jadi yang menjadi tarikan pelancong yang terkenal di Daerah Kinta. Kawasan Gua Tempurong dan sekitarnya adalah di bawah pengurusan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak (Bahagian Pelancongan). Antara kampung-kampung tradisional yang terdapat di sekitar kawasan ini adalah Kg. Jeram dan Kg. Gunung Mesah Hilir di Mukim Kampar serta Kg. Jahang, Kg. Chulek, Kg. Pisang, dan Kg. Baru Sg. Siput Selatan di Mukim Teja.


Satu pelan pembangunan di kawasan seluas lebih kurang 3000 ekar di sekitar Gua Tempurong telah dicadangkan oleh Yayasan Perak yang akan membangunkan kawasan ini secara usaha sama dengan Syarikat Heritage Acres Sdn. Bhd. Antara komponen yang terdapat dalam cadangan adalah taman tema air, tapak “ caravan” dan perkhemahan, taman safari, dusun buah-buahan, taman warisan, taman tropika, taman anggerik, “arboretum”, rumah dusun, padang golf dan lain-lain. Sebahagian tapak yang dicadangkan ini melibatkan aktiviti tanaman dan ternakan masyarakat kampung di tapak bekas lombong.

e. Pembangunan Pusat Matrikulasi Perak

Pusat Matrikulasi Perak ini terletak di Batu 3 ½ Jalan Gopeng – Kota Baharu di Mukim Teja. Kawasan sekitarnya merupakan estet kelapa sawit dan kawasan belukar serta tanah bekas lombong. Kawasan penempatan yang terdekat adalah lebih kurang dua kilometer dari tapak pembangunan ini. Pusat Matrikulasi ini telah dibuka pada awal tahun 2002. Kewujudannya telah membawa migrasi masuk ke Kawasan RTD Kinta iaitu terdiri dari penuntut yang mengikuti pengajian dan kakitangan yang berkhidmat.


f. Cadangan Pemindahan Pengkalan Tentera Batu Cantonment

Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan telah mengenal pasti tapak seluas 680 hektar di Jalan Gopeng – Kota Baharu untuk pemindahan pengkalan tentera Batu Cantonment yang kini terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Tapak yang dicadangkan ini terletak berhampiran dengan Pusat Matrikulasi Perak. Keadaan sedia ada tapak terdiri dari kawasan belukar serta tapak bekas lombong. Tidak terdapat kawasan penempatan atau kampung berhampiran dengan tapak kajian. Penempatan yang paling hampir adalah lebih kurang dua kilometer dari tapak yang dicadangkan. Guna tanah yang berhampiran tapak cadangan adalah kawasan ladang kelapa sawit. Semasa kajian lapangan, dapat dilihat kerja meratakan tanah sedang dilakukan di sekitar kawasan tapak cadangan.


g. Cadangan Pembangunan Kampus UTAR

Tapak seluas lebih kurang 1000 ekar di Mukim Kampar telah diluluskan untuk pembinaan kampus Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR). Tapak kampus UTAR ini disempadani oleh Bandar Baru Kampar di bahagian Selatan dan Timur, Kampung Tersusun Batu Karang di bahagian Utara dan Kampung Tualang Sekah di bahagian Barat. Tapak kampus UTAR ini terdiri dari tanah kerajaan dan kawasan bekas lombong yang kini diberi Lesen Menduduki Sementara (TOL). Ternakan ikan dan itik diusahakan di kolam-kolam bekas lombong yang meliputi lebih kurang 35 peratus daripada tapak cadangan. Selain itu, keadaan sedia ada tapak cadangan adalah belukar dan semak-samun. Pembangunan kampus UTAR ini merupakan satu pelaburan besar yang akan menjadi mercu tanda penting di Kampar. Selain migrasi masuk penduduk dari luar, lain-lain implikasi sosial juga akan timbul.


h. Cadangan Pemindahan Pelabuhan Darat/ Depot KTMB dari Ipoh ke Batu Gajah

Tapak seluas 160 hektar di Mukim Batu Gajah telah dikenal pasti untuk pemindahan pelabuhan darat dari Ipoh. Pembangunan yang dicadangkan ini juga akan melibatkan pembinaan bangunan stesen kereta api / komuter baru bagi Batu Gajah. Tapak yang dicadangkan ini merupakan tanah kerajaan dan terletak berdekatan dengan kawasan penempatan. Antara kampung yang berdekatan adalah Kampung, Pisang, Kampung Ara Payung dan Kampung Pasir. Semasa kajian lapangan, kerja-kerja pembinaan sudah pun bermula.


i. Pembangunan di Seri Iskandar dan Cadangan Bandar Ilmu di Tronoh

Pembangunan yang dirancang dan yang akan dimajukan di Daerah Perak Tengah juga akan memberi kesan ke atas masyarakat desa di Kawasan RTD Kinta, terutamanya di Mukim Belanja, Pekan Tronoh sehinggalah ke Bandar Batu Gajah. Antara pembangunan yang telah ada dan dalam perancangan di Bandar Seri Iskandar adalah kampus cawangan UiTM, Universiti Teknologi Petronas, Institut Perdagangan MARA, Institut Latihan Belia dan Taman Farmaseutikal. Sementara itu pembangunan bandar ilmu di Tronoh meliputi pelbagai institusi seperti Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Bina negara (IKBN), Kolej Komuniti dan Pusat Latihan Bomba Wilayah Utara. Perlaksanaan projek-projek seperti ini pastinya membawa migrasi masuk penduduk yang akan meningkatkan permintaan terhadap barangan pengguna dan perkhidmatan.


IMPAK PEMBANGUNAN

Terdapat beberapa impak terhadap masyarakat setempat yang diakibatkan dari perlaksanaan beberapa projek utama yang telah dihuraikan. Maklumat telah dikumpulkan melalui beberapa kaedah seperti “focus group discussion”, kaji selidik “key informant” dan pengamatan.

a. Cara Perlaksanaan Projek Pembangunan

Terdapat rungutan dan keluhan daripada penduduk dan pemimpin tempatan (ketua kampung, ahli JKKK) mengenai cara perlaksanaan projek. Secara umumnya, masyarakat menyokong dan menyambut baik usaha pelbagai agensi kerajaan yang merancang dan membawa pembangunan ke kawasan mereka. Seorang ketua kampung yang tanahnya terlibat dengan urusan pengambilan balik tanah menyatakan,

“kita tidak menghalang projek pembangunan yang dilaksanakan... bahkan kita menggalakkan... sekurang-kurangnya kawasan kita akan berubah, tetapi apa yang kita kesalkan sedikit cara pengambilan tidak dirunding terlebih awal, itu yang kita kesal sedikit”.

Seorang pemilik tanah pula menyuarakan,

“...memang sudah jelaslah kita perlukan pembangunan dan juga ‘double-track‘ ni tidak pernah kita dengar dahulu...dan sekarang sudah menjadi kenyataan....daripada zaman kita kecik dulu, saya kecik, saudara semua pun kecik-kecik memang pembangunan bila-bila pun akan berlaku....pembangunan akan terus berjalan, tapi dalam masa itu, janganlah pula geografi tempat kita ni habis dipinda terus hingga hilang identiti...Jadi tempat ni, tempat lama, bak kata Tuan Syed tadi, tempat bersejarah...memang betul tempat bersejarah, sejak zaman British dulu dan zaman kesultanan Perak . Jadi perlulah kita jaga identiti, iaitu, janganlah ia berubah sangat disebabkan dek pembangunan. Jadi pembangunan itu perlu, tapi fikirkanlah orang yang ada di sini, penduduk yang ada di sini ... juga fikirkanlah identiti tempat ini....tanpa rumah-rumah kutai, rumah-rumah lama, tradisional, hilanglah.. .kalau ia jadi ‘tight’ dengan bangunan-bangunan batu, serupa macam tempat lain, hilang identitinya”.

Berikut adalah petikan daripada responden dalam perbincangan focus group mengenai cara perlaksanaan projek yang kurang disenangi dan ibarat mengabaikan kebajikan dan pandangan penduduk setempat.

“Mereka datang tunjuk kad, dan, dah habis tunjuk kad, bagi notis pengambilan... dan seterusnya meletakkan harga. Jadi di sinilah kita tidak dapat nak buat, kata orang nak ubah, buat perhitunganlah... Perancangan itu sudah tetap, kita tidak boleh nak bangkang, kalau kita bantah, tak setuju.... pergi mahkamah!”.

(Pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah).

“Saya sewa rumah di sinilah ... kira-kira dah tiga puluh tahun lebih dah saya sewa. Tiba-tiba datang orang, dia bagi surat,.....kamu kena keluar 24 jam, eh..bukan, dia bagi masa dua minggu... dua minggu dia bagi masa. Pampasan satu sen saya tak dapat. Lepas tu dia kata dia bagi surat... dia kata kalau kamu tak keluar lagi dua minggu ini maka denda 10,000 ringgit. Saya takde 10,000, mana saya nak cari 10,000 ringgit saya kata... Ada ke undang-undang kerajaan macam ni? ...Yang saya tau kan, undang-undang kerajaan... macam mana pun dia mesti bagi tiga bulan tempoh. Ni takde, dia bagi dua minggu aje”.

(Peniaga dan penyewa berbangsa Cina yang terpaksa berpindah).

“...cara pengambilan... cara tu dengan mengejut aje... tengok-tengok dia datang ukur... lepas tu tebas... takde langsung berbincang dengan orang kampung... takde bagitahu ketua kampung pun... Kalau ada perbincangan tuu.. kalau ada komunikasi orang kata kan... komunikasi antara dua pihak kan... ini sebelah aje.. .tengok-tengok kita dah tak boleh nak buat apa dah”.
(Pemilik tanah)

“...Yang saya tahu, bila projek membina jalan raya ini, kami, orang-orang kampung tak diberitahu, tak dibawa berunding, jadi tiba-tiba... datang..apa? Buldozer datang, excavator datang... datang dengan cara kurang ajar, dia suruh kami alih pokok-pokok tanaman, pokok-pokok bunga...dia mula dari dekat surau.. .jadi dia mula ‘ngap’ dengan korek-korek... jadi kami marah”.

(Penduduk dan juga pemilik tanah yang tinggal berhampiran tebing yang dikorek, telah bercucuk tanam di tanah rizab jalan).

“... memang kita cuba cari penyelesaian untuk berunding, tapi sikap kurang ajar kontraktor itu sendiri, maknanya dia tak nak berunding langsung... bila timbul masalah baru dia nak refer pada kita balik, untuk kita pula memujuk orang kampung... mana boleh macam tu!”.

(Setiausaha JKKK, pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah).

b. Nilai Pampasan dan Bayaran Ganti rugi

Selain kurang senang dengan cara kontraktor serta pihak yang menjalankan pembinaan, kebanyakan pemilik tanah juga tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bayaran ganti rugi yang mereka terima. Ada yang mengatakan bahawa nilai pampasan tidak selaras di antara agensi seperti petikan di bawah:

“ Kemudian, dari segi pampasan begitu juga... tak begitu memuaskan. Kalau kita bandingkan projek KTM dengan projek JKR... kebetulan pada masa yang sama, JKR membuat jalan daripada Kota Bharu ini menghala ke Kg. Changkat Tualang,.. sama pengambilan, dan temuduga sama, pejabat yang sama, urusan penilaian di pejabat yang sama... tapi harga tak sama.... banyaklah keluhan orang yang terlibat.”.
(Pemilik tanah).

Ramai yang merasakan nilai pampasan atau bayaran ganti rugi yang mereka terima adalah terlalu rendah dan tidak berpatutan. Berikut adalah petikan dari beberapa responden dalam perbincangan focus group:

“...saya tanya orang pejabat tanah tu kan....dia rangkum semua sekali, banyak tulah, katanya... pokok-pokok rambutan rumah saya, pagar-pagar rumah tu kan.. tapi saya tengok, nilai pagar tu cuma 1000 ringgit sahaja. Mak saya dulu pun, buat pagar tu 2000 ringgit... tu tiga puluh tahun yang lepas...ha..bayangkanlah!
(Pesara guru, yang mewarisi tanah)

“ ...saya buat penilaian yang sama... satu pejabat jugak... bangunan Seri Kinta tu jugak... saya dah pergi dah situ heey...seghopa (serupa) jugak. Itu yang buat saya terkilan. Bayangkanlah..., ganti rugi untuk elektrik dan air, dia orang hanya sponsor 1500 ringgit... bayangkanlah! ... Apa 1500 ringgit nak buat... wayering dengan paip air”.

(Pemilik tanah yang bekerja sebagai pemborong kontraktor)

“Tapi saya tak puas hati jugak sebab pokok saya satu sen pun dia tak bayar...pokok durian dah berbuah..petai dah berbuah...pokok langsat dah ada buah...pokok tu kan, kalau dinilai, setahun boleh dapat 500 ringgit.”.

(Pemilik tanah yang bertugas sebagai pembantu tadbir, dan ketua perkumpulan wanita).

“.. .tapi saya mintak ganti pokok... pokok nyior yang tujuh tu, pendapatan saya 300 sebulan, sebulan, bukannya setahun.... pokok nyior tu tujuh,... aahhh..pokok petai sepokok, duku dua, durian dua...habis dah... tunggul pun dah tak ada... semua dah korek dah... semalam dia angkat sepuluh lori...”.
(Suri rumah dan pemilik tanah)

“ ...jadi duit tuu.... pada kami 25,000 ringgit takde makna”.

(Penduduk yang rumah dirobohkan)

c. Kesulitan Semasa Pembinaan

Bagi projek-projek pembangunan yang sedang berjalan, berbagai masalah timbul. Ini mengakibatkan kesulitan dan gangguan kepada masyarakat setempat. Antara kesulitan yang timbul adalah gangguan bekalan elektrik, air, jalan / laluan masuk terputus, banjir kilat dan sebagainya. Berikut adalah keluhan daripada responden perbincangan focus group.

“... Arahan saya pada kontraktor tu, setiap kali lori keluar-masuk, dia mesti ratakan balik tanah tu... macam depan rumah, kita nak parking kereta pun tak buleh... kereta nak keluar masuk pun tak buleh... tambah lagi musim hujan kan, jalan tu berlopaklah...”.

“ ...saluran air kami yang keluar tu... dia buat kecik... dia kata membesarkan parit, ... tapi mengecilkan parit ”.

“ Sekarang, dia macam ni... kalau hujan dua tiga hari, memang dia (air) naik . Macam orang bawah tu, kenalah... tapi macam kami atas bukit takpe lah”.

“ ...dan yang kita alami sekarang, baru tiga, empat hari ini adalah berkenaan dengan lampu jalan. Tiang ada, lampu ada, tapi tidak berfungsi. Ini kesan daripada projek ini. Jadi, sampai bilakah kami akan menanggung?”.

“ ... paip air tadi, gali-gali... tinggal. Siapa yang tanggung, tak tau. Begitu jugak api,... tengok jalan tu berlubang-lubang tu banyak.... depan kedai Ah Kaw ni ... kita tahulah berlubang-lubang...”.

d. Ancaman Kesihatan dan Keselamatan

Selain dari kesulitan dan gangguan terhadap masyarakat, projek-projek pembinaan juga mengakibatkan masalah pencemaran udara dan bunyi. Ini menjejaskan tahap kesihatan dan kesejahteraan penduduk yang berhampiran dengan tapak projek yang sedang berjalan. Berikut adalah antara pengalaman yang diutarakan semasa perbincangan focus group.

“ Semenjak orang buat jalan tuu lah... habuk ... saya pergi klinik,... kemudian saya batuk, selesema. Saya makan ubat, batuk tak hilang juga... Sekarang ni, dia buat tambun pulak tanah... lepas tu terbiar begitu saja. Satu hari, saya tergolek.... bila hujan ni kan, saya nak pergi ke tembok depan tu, entah macam mana, tergolek... Sekarang ni, lutut kaki saya sakit”.

“ tambah lagi dengan masalah kesihatan kanak-kanak di Tadika, cikgu pun batuk ... penyakit apa ... batuk, demam, lelah. Anak saya, lelahlah... sakit mata...”.

“Pekan kecik, orang tak ramai, tapi kesusahannya... ya Allah! Tak taulah nak mengatakan...”.

e. Menjejaskan Punca Mata Pencarian

Projek-projek pembangunan yang sedang dalam pembinaan dan juga yang dalam perancangan juga menjejaskan punca mata pencarian segelintir masyarakat. Antara mereka yang terlibat dari segi ini adalah:

• Peniaga yang terpaksa berpindah kerana ruang niaga diambil untuk projek.
• Pemilik tanah yang mendapat hasil dari tanaman yang diusahakan, dan tanah mereka terlibat dengan urusan pengambilan balik tanah.
• Pengusaha – petani, penternak dan pengilang yang melakukan berbagai usaha seperti bercucuk-tanam, memelihara ikan hiasan, itik dan sebagainya. Di atas tanah TOL yang diambil untuk projek pembangunan.
• Peniaga yang kerugian akibat dari masalah banjir kilat akibat dari sistem saliran yang tersekat akibat pembinaan yang sedang berjalan.
Rumusannya, penekanan terhadap aspek sosial amat kurang di setiap peringkat projek, iaitu sama ada di peringkat perancangan, pembinaan dan juga semasa peringkat operasi. Ini berpunca daripada keghairahan mengejar keuntungan dan sikap mendefinisikan pembangunan dari sudut ekonomi dan fizikal semata-mata. Masyarakat setempat tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang melaksanakan projek. Pandangan, rungutan serta keluhan mereka diabai dan tidak dipertimbangkan.


CADANGAN

Cadangan yang diutarakan ini adalah berteraskan kepada empat nilai-nilai yang terkandung dalam Doktrin Perancangan dan Pembangunan Sejagat (DPPS) (JPBD, 1997) iaitu adil dan saksama, keamanan dan keselamatan, menghormati hak asasi dan perundingan.

a. Adil dan Saksama

Prinsip ini menghendaki agar keputusan dan tindakan yang dibuat dapat diterima oleh masyarakat dengan tenang dan dengan hati yang terbuka. Jika keputusan dan tindakan tidak berasaskan keadilan, akan terjadilah bantahan dan penentangan. Dalam memastikan prinsip adil dan saksama ini dipenuhi, setiap perancangan dan perlaksanaan projek hendaklah mengambilkira kepentingan setiap golongan masyarakat terutamanya golongan yang lemah. Pihak yang merancang dan melaksanakan projek perlu tahu ciri serta struktur masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan yang dirancang. Pegawai serta kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang dipertanggung jawabkan untuk sesuatu projek perlu “turun ke padang” dan mengenali tempat serta masyarakat yang terlibat. Perancangan hendaklah dibuat secara bottom-up dan berbentuk consultative agar keperluan setiap golongan masyarakat dapat diambilkira terutamanya golongan yang lemah dalam sesebuah masyarakat seperti golongan miskin, kaum pribumi, ibu tunggal, warga tua, orang kurang upaya dsb.

Setiap golongan masyarakat perlu diambilkira dalam perancangan dan perlaksanaan projek


b. Keamanan dan keselamatan

Perancangan dan perlaksanaan projek pembangunan mesti meletakkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat sebagai aspek penting yang tidak boleh diabaikan. Perancangan sebarang projek pembangunan hendaklah mengambilkira penduduk yang tinggal disekitar tapak yang dirancang. Penilaian Impak Sosial perlu dibuat sebelum projek diluluskan. Pihakberkuasa tempatan, Pejabat Daerah dan agensi pelaksana lain hendaklah memantau dan memastikan kontraktor yang dilantik untuk setiap projek pembangunan mengambil langkah berjaga-jaga (precautionary measures) dalam kerja pembinaan agar pencemaran dapat dikurangkan serta gangguan kepada penduduk dapat diminimakan.


PBT dan Pejabat Daerah perlu memantau kontraktor yang melaksanakan projek


c. Menghormati Hak Asasi

Pihak yang merancang dan melaksanakan projek hendaklah memahami dan mengenalpasti ciri masyarakat setempat. Pegawai kerajaan serta swasta yang terlibat dengan perancangan dan perlaksanaan projek hendaklah bersikap terbuka dan memahami kehendak masyarakat. Mereka juga harus menerima hakikat bahawa masyarakat setempat lebih tahu mengenai kampung / penempatan mereka dan kawasan sekitarnya kerana telah sekian lama tinggal di sesuatu tempat itu.


d. Perundingan

Perbincangan dan perundingan dengan wakil dan kumpulan-kumpulan masyarakat hendaklah dijadikan amalan diperingkat perancangan dan perlaksanaan projek. Sesi dialog dengan pemimpin tempatan, pertubuhan setempat dan kumpulan masyarakat umumnya hendaklah dibuat dari peringkat perancangan projek lagi supaya masyarakat lebih tahu (informed society). Usaha sebegini bukan saja dapat mengurangkan bantahan dan resistance terhadap perlaksanaan projek yang dirancang, tetapi juga berupaya meraih sokongan dan kerjasama masyarakat setempat.


RUMUSAN

Daerah Kinta dianugerahi berbagai sumber dan aset yang tidak ternilai. Ia juga kaya dengan khazanah warisan bangsa yang perlu dipelihara. Lokasi yang strategik membuatkan daerah ini amat berpotensi untuk pelbagai projek pembangunan. Wujudnya projek-projek utama sebagaimana yang telah dihuraikan menjadi bukti kepada potensi dan prospek masa depan yang amat cerah bagi daerah ini.

Pembangunan semestinya memberi penekanan kepada aspek sosial dan kemanusiaan. Berdasarkan kepada kajian di daerah Kinta ini, jelaslah bahawa aset sumber manusia sedia ada berpotensi untuk digembeling bagi menjayakan lagi setiap projek yang dirancang dan dilaksanakan. Masyarakat yang kian peka terhadap isu semasa, mengambil tahu dan bersedia untuk berubah dan mempertingkatkan diri serta komuniti setempat merupakan aset yang harus dimanfaatkan sepenuhnya. Pemimpin-pemimpin berwawasan, matang dan beretika mampu menggerakkan kumpulan sasaran dalam mencapai sesuatu objektif pembangunan. Pegawai-pegawai di peringkat daerah yang berpengetahuan, berkemahiran dan ikhlas dalam menjalankan tugas seharusnya boleh merancang, mengawasi dan melaksanakan projek-projek untuk kebaikan masyarakat setempat, rakyat dan negara umumnya.


Rujukan

Blowers, Andrew (ed) (1993), Planning for a Sustainable Environment (A Report by Town and Country Planning Association), London: Earthscan Publications Ltd.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD) (1997), Garis Panduan Perancangan dan pembangunan Sejagat, Kuala Lumpur: JPBD.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD) (Pejabat Projek Kuala Lumpur) (2003), Laporan Teknikal Rancangan Tempatan Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan 2002 – 2015 (tidak diterbitkan).

Kementerian Pembangunan Negara dan Pembangunan Masyarakat (2003), Dasar Sosial Negara, Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Rahimah Abdul Aziz (2001), Pengantar Sosiologi Pembangunan (edisi kedua), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainuddin B. Muhammad (Dato’) (1995), Menangani Cabaran Abad ke 21, ucaptama Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Perancang Bandar dan Desa Malaysia ke X, 15-18 Jun 1995, Hyatt Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.

Note: Due to incompatible formatting, figures and photos have been removed from the text

No comments: